Selamat Tinggal Bim Bim – Part 2

By Mizz Coki - Julai 23, 2011

Pagi ni dengan cuaca dingin memang enak kalau kau berselimut tutup habis badan tapi aku hanya menikmati tidur untuk beberapa jam saja. Rasa-rasanya dalam pukul 3 – 4 pagi baru dapat melelapkan mata. Tidur juga tiada nyenyaknya sebab aku sampaikan termimpi-mimpi dan terigau-igau menangis mencari Bim Bim. Dahsyatnya rasa sedih sampai ke dalam mimpi penangannya. Dan beberapa kali juga mata aku terbuka dan terkebil-kebil kemudian berusaha untuk tidur balik dan keadaan berlarutan begitu sampailah ke pagi…….

Tiba-tiba……. Pintu bilik tidur diketuk berkali-kali dengan kuatnya. Mata terbukak! Baru 7 pagi, masih awal dan sejuk. Bila kami buka pintu, ibu mertua ku sudah tercegat berdiri sambil menangis dan kesat air mata.

“Bim Bim balik…. Tapi dia balik untuk mati…”

Aku terus berlari ke bawah dan terus menerpa ke pintu. Mata aku terpaku saat melihat dia terbaring kaku atas kain kesayangan dia. Aku terus duduk atas sofa macam hilang akal. Takde respon langsung. Aku masih ingat lagi saat ayah meninggal 2 tahun dulu. Aku tidak memberikan sebarang respons hanya setengah jam kemudian baru aku menangis semahu-mahunya bila sepupu aku datang dan memeluk aku.

Aku bangun untuk kali kedua dan pergi keluar. Aku belai dan usap kepala dan badannya. Masih panas. Kasihan kau Bim Bim. Kau anjing yang taat dan tidak pernah menyusahkan kami. Sampai ajal kau pun kau tak nak kami bimbang malah bersembunyi kat tempat lain sebelum balik ke rumah dan menghembuskan nafas terakhir. Kau tak nak susahkan Nenek, Bak Mok dan Mak Mok ya?

Lepas ni kan, tak ada orang akan gigit beg Mak Mok, Datuk tak akan membebel menyapu sampah yang kau angkut kat luar. Gabby tak melalak macam orang gila bila kau nak kejar dia. Bila Mak Mok nak pergi kerja, takda lagi kau berdiri kat tepi pintu macam nak ucapkan selamat tinggal. Bak Mok paling sedih tapi dia tak tunjuk tau. Bak Mok macam marah-marah sebab dia tak puas hati kenapa kau boleh sakit sampai macam tu sekali. Nenek dah buat tuduhan macam-macam sebab dulu Bubby pun sakit macam tu kemudian mati. Aku pun kalau ikutkan emosi akan menuduh dan buat andaian macam-macam sebab mungkin mulut aku celupar minggu lepas dan kemudian orang bagi racun kat kau. Tuhan tahu apa yang terjadi walaupun doctor bagitau semalam kalau berak berdarah memang kena virus.

Encik Suami berjanji nak dapatkan bukan seekor tapi dua ekor anak anjing untuk aku. Dia tahu aku sedih bila tengok aku cuma diam macam orang hilang punca. Aku bilang takkan sama dengan Bim Bim.

Aku sedih sebab Bim Bim adalah hadiah untuk aku. Dah lama aku hendak mencari anak anjing untuk dibawa buat exercise briskwalk. Bila aku tengok balik tali rantai, kolar dan makanan dia, air mata aku jatuh lagi. Dan dalam kamar tidur ini aku cuma ditemani juraian air mata dan laptop putih untuk berkongsi kesedihan ini.

Entri khas macam mana pertama kali Bim Bim sampai ke rumah akan menyusul tapi biarlah aku ‘rehat’kan emosi aku yang belum lagi stabil sepenuhnya.



♥ ♥ Don't Hate Me Cos' I'm Beautiful.. (Katanya!) ♥ ♥

  • Share:

You Might Also Like

1 ulasan